03/07/2024

DEPOT TAHANAN DAN KUARTERS BAHARU IMIGRESEN JAWI BILA SIAP NANTI LEBIH KONDUSIF DAN SELAMAT

DEPOT TAHANAN DAN KUARTERS BAHARU IMIGRESEN JAWI BILA SIAP NANTI LEBIH KONDUSIF DAN SELAMAT

by Diadaptasi dari maklumat Kementerian Kerja Raya Malaysia

JAWI, PULAU PINANG - YB Datuk Seri Ahmad Bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah turun padang meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Depot Tahanan Imigresen dan Kuarters, Jawi, Pulau Pinang.

  1. Projek ini merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) Rolling Plan Pertama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) milik Jabatan Imigresen Pulau Pinang. Tarikh milik tapak adalah pada 27 Mei 2019 dan projek ini sekarang berada di tahap 98% kemajuan fizikal dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2024.

  2. Projek ini bertujuan menyediakan pusat tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kondusif yang boleh menampung kapasiti yang diperlukan dan memiliki ciri-ciri kawalan keselamatan. Di samping itu, projek ini juga menyediakan tempat tinggal pegawai bertugas yang berhampiran dengan tempat kerja. Ini akan dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan pegawai Imigresen Depot Tahanan dengan masa tindak balas (respond time) yang pantas bagi menangani sebarang isu sekiranya berlaku kekecohan di blok tahanan.

  3. Projek ini dibangunkan di atas sebahagian Lot 7370, Mukim 07, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang berkeluasan 15 ekar dengan kos kontrak asal bernilai RM77.5 juta. Projek ini bakal menggantikan Depo Tahanan Imigresen Juru (sedia ada) yang dibina pada tahun 1976 di mana depo tersebut telah uzur dan tidak selamat untuk diduduki. Secara purata, depo Tahanan Imigresen Juru ini mempunyai kapasiti untuk 500 orang tahanan; 350 tahanan lelaki dan 150 orang tahanan wanita.

  4. Turut termasuk dalam skop projek ialah pembinaan rumah pam dan tangki sedut selain penyediaan jajaran retikulasi air sepanjang 2 kilometer ke projek Depot Tahanan Imigresen ini bagi mengatasi isu tekanan air rendah di kawasan Jawi yang menjejaskan bekalan air di kawasan penjara dan Taman Widuri.

  5. Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pasukan pembinaan dapat mengekalkan momentum penyiapan projek ini dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa. KKR sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh KDN selaku kementerian pelanggan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana untuk menyiapkan infrastruktur keselamatan negara ini.


Berdasarkan kandungan yang asalnya diterbitkan oleh CIDB Malaysia. Untuk maklumat lebih terperinci, sila layari laman webKementerian Kerja Raya Malaysia.

Daftar & langgan untuk melihat senarai tender terkini